Wednesday 21 September 2011

Pesakit mental perlu dirawat di dalam komuniti

News : Ini kerana dua pertiga daripada mereka yang mengalami masalah penyakit mental atau Schizophrenia didapati mampu pulih apabila dirawat menggunakan kaedah ini.

Tidak seperti rawatan pesakit jiwa yang diasing dan ditempatkan di Hospital Sakit Jiwa, kaedah rawatan komuniti melibatkan rawatan pesakit oleh keluarganya sendiri dan dibiarkan bercampur dengan masyarakat.

Source : http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2000&dt=1113&pub=utusan_malaysia&sec=gaya%5Fhidup&pg=l
Date Source: 13/11/2000
Menurut Pengerusi Persatuan Perubatan Psikologi Kelantan (Persikol), Prof. Madya Dr. Azhar M. Zain, hanya satu pertiga pesakit Schizophrenia akan menjadi kronik dan tidak dapat berdikari.

"Mereka ini perlu menerima rawatan pemulihan yang lama di pusat-pusat rawatan seperti di Hospital Bahagia. Dua pertiga lagi boleh dirawat di komuniti,'' katanya ke-tika ditemui di Kubang Kerian, baru-baru ini.

Beliau yang kini merupakan perunding psikiatrik dan psikoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) mengulas mengenai pendekatan rawatan yang sesuai untuk mengubati pesakit mental.

Sejak kebelakangan ini, kejadian amuk di kalangan pesakit mental sering dilaporkan di media massa.

Rawatan untuk pesakit mental sebelum tahun 1960-an lebih tertumpu kepada pemulihan di pusat-pusat pemulihan mental di hospital sakit jiwa.

Bagaimanapun selepas tahun 1960-an, pesakit mental, terutamanya yang tidak begitu kronik dibiarkan sembuh melalui pergaulan dalam komuniti.

Kaedah ini didapati lebih berkesan kerana mereka akan didedahkan dengan kehidupan sebenar bermasyarakat, berbanding kaedah rawatan di hospital sakit jiwa yang hanya melibatkan percampuran sesama mereka yang bermasalah mental.

Perubahan dalam rawatan ini diperkenalkan antaranya kerana pertambahan bilangan pesakit mental yang tidak mampu ditampung oleh hospital sakit jiwa.

Mengulas mengenai kejadian amuk yang kerap dilaporkan sejak kebelakangan ini, Dr. Azhar berkata, kebanyakan yang mengamuk ialah mereka yang menghidap penyakit mental Schizophrenia.

"Sebanyak 70 peratus daripada kes amuk termasuklah kes membunuh orang, adalah mereka yang menghidap penyakit Schizophrenia,'' katanya.

Penyakit ini adalah penyakit fungsian mental yang mempunyai ciri-ciri gangguan pemikiran, persepsi, kelakuan dan mood.

Ia melibatkan satu peratus daripada keseluruhan masyarakat dan biasanya berlaku kepada mereka dalam lingkungan umur 20 tahun ke atas.

Antara sebab-sebab penyakit ini yang telah dikenal pasti ialah genetik, persekitaran seperti kematian ahli keluarga, masalah keluarga atau stres dan biokimia yang merujuk kepada ketidakseimbangan neurotransmitter dalam otak.

Menurut Dr. Azhar, sejauh mana kroniknya masalah Schizophrenia bergantung kepada bila seseorang itu menghadapi masalah ini.

"Lebih awal seseorang itu mendapat penyakit ini, lebih kronik keadaannya,'' jelas beliau.

Sementara itu, mengulas mengenai kegiatan Persikol yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu, beliau berkata, persatuan itu memberi bimbingan kepada ahli-ahli ahli keluarga bagaimana mengendalikan pesakit mental, di samping kaunseling kepada pesakit mental sendiri.

"Perjumpaan dengan ahli-ahli dilakukan sebulan sekali, manakala lawatan rumah ke rumah dilakukan seminggu sekali,'' katanya.

Sehingga kini Persikol mempunyai 50 ahli yang membayar yuran tahunan RM15.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your concern. We can help!