Thursday 22 September 2011

4 sekolah dipilih perintis kesan penyakit mental

PUTRAJAYA: Empat sekolah dipilih sebagai sekolah perintis bagi melaksanakan satu modul khas bagi mengesan gejala penyakit mental di kalangan remaja pada peringkat awal.

Modul Kemahiran Kesihatan Mental Di Kalangan Remaja di sekolah itu akan dijalankan bagi tempoh enam bulan dan hasilnya akan dibincangkan dengan Kementerian Pelajaran.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk mengenalpasti gejala penyakit mental di kalangan remaja pada peringkat awal.

Beliau berkata, tempoh projek itu akan dijalankan selama enam bulan bagi mendapatkan hasil sebelum dibincang dengan Kementerian Pelajaran sebelum diperluaskan ke sekolah menengah di seluruh negara penghujung tahun ini.

“Kerjasama dengan Kementerian Pelajaran membabitkan juga perkara melatih guru dan kaunselor untuk mengenalpasti gejala kemurungan di kalangan pelajar,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, di sini, semalam.

Tiong Lai berkata, empat sekolah yang terbabit dalam projek itu adalah Sekolah Menengah (SM) Sains Teluk Intan, Perak; SM Datuk Haji Ahmad Badawi, Pulau Pinang; SM Simpang Bekok, Melaka dan SM St Michael Penampang, Sabah.


Menurutnya, usaha yang dilakukan itu bukan bermakna kementerian mensasarkan pelajar sebagai kumpulan berisiko, tetapi bagi memberi kemahiran kepada guru dan kaunselor supaya dapat mengesan gejala kemurungan dan tekanan di kalangan pelajar pada peringkat awal.

“Secara keseluruhan, seramai 400,227 pesakit mendapatkan rawatan berkaitan kesihatan mental di hospital kerajaan pada tahun lalu dan ia menunjukkan peningkatan 15.6 peratus berbanding 2009 (337,791 kes),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, gejala kesihatan mental di kalangan remaja juga menunjukkan pola meningkat.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your concern. We can help!