Wednesday 21 September 2011

Mengurus pesakit mental

 
Ir. Paul Chiew (kanan) menerima sumbangan daripada Institut Kejuruteraan Malaysia Cawangan Miri untuk Persatuan Kaunseling Miri, baru-baru ini.
 
MIRI 22 Ogos - Masalah gangguan mental bukan perkara baharu, malah kajian National and Health Morbidity Survey dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini mendedahkan 11.2 peratus daripada rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas cenderung mengalami gangguan jiwa.
Laporan itu turut mendedahkan, jumlah pesakit yang mengalami gangguan jiwa turut meningkat pada setiap tahun namun usaha untuk menangani sepenuhnya isu itu belum mencapai tahap memuaskan.

Hakikat berkenaan diakui oleh Pengerusi Persatuan Kesihatan Jiwa Sarawak Cawangan Miri (MHAM), Ir. Paul Chiew yang menyatakan negeri ini khususnya masih jauh ketinggalan dalam usaha membantu golongan pesakit mental.
Katanya, definisi ketinggalan itu mencakupi kekurangan kemudahan untuk merawat selain masalah dana yang tidak mencukupi bagi mengendalikan pusat rawatan.
"Di Miri misalnya, baru diwujudkan pusat rawatan mental iaitu Pusat Kaunseling Miri yang diletakkan di bawah seliaan Hospital Miri.
"Namun kita merasakan pusat ini perlu diberi banyak tumpuan kerana masih banyak kekurangan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Rumah Kenyalang atau Pusat Kaunseling Miri, baru-baru ini.
Penubuhan pusat itu yang terletak di kuarters kerajaan No.13, Jalan Bakam, Tanjong Lobang merupakan inisiatif MHAM dengan kerjasama Hospital Miri bagi membantu pesakit mental di bahagian ini menjalani rawatan pemulihan sebaik sahaja keluar dari hospital.
"Setiap hari, kita menerima sekurang-kurangnya dua pesakit yang datang mengikuti pemulihan selain mendapatkan khidmat kaunseling.
"Memandangkan kita masih kekurangan dana, kakitangan dan kemudahan, pusat ini hanya menyediakan pemulihan harian," katanya.
Memulakan operasi pada 16 Mei tahun ini, pusat berkenaan menyediakan khidmat percuma kepada pesakit mental yang disahkan oleh doktor atau pakar psikiatri, khidmat kaunseling dan latihan asas kepada pesakit mental.
Ia dibuka setiap Isnin hingga Khamis, bermula 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum.
Pusat itu juga turut mengadakan ceramah dan forum berkenaan kesihatan mental dan jiwa kepada orang awam di samping bekerjasama dengan institusi pendidikan seperti kolej, universiti dan sekolah.
"Setakat ini kita mempunyai empat orang kaunselor yang berkhidmat secara sukarela.
"Perkhidmatan ini bagaimanapun terhad untuk jagaan harian manakala khidmat kaunseling dilakukan secara temu janji," katanya.
Mengulas lanjut, Chiew berkata, semasa berada di pusat itu, pesakit akan diberi latihan untuk menjaga kebersihan dan menguruskan diri seperti mandi, menjemur pakaian, memasak selain kemahiran membuat kraf tangan.
Katanya, latihan tersebut penting agar pesakit mental yang pulih nanti dapat berdikari dan mampu melakukan tugas asas seperti menjaga kebersihan diri.
Mengenai operasi pusat berkenaan, Chiew berkata, kekurangan dana menyebabkan usaha membantu golongan sakit mental di bahagian ini menjadi begitu mencabar dan sukar.
Sehubungan itu, katanya, MHAM perlu mengambil pelbagai inisiatif untuk mendorong sumbangan daripada orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan antaranya menganjurkan majlis makan malam amal.
"Dalam jangka panjang saya berharap pusat ini nanti akan mempunyai kenderaan atau pengangkutan sendiri untuk memudahkan pesakit mental mendapatkan bantuan.
"Dengan adanya kenderaan, kita dapat membantu pesakit mental yang tiada kenderaan untuk datang ke sini," katanya sambil menambah pada masa ini pesakit perlu membawa makanan sendiri kerana MHAM tidak mampu menyediakannya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menggesa kerajaan menambah peruntukan untuk membantu pusat seperti MHAM mengendalikan proses rawatan mental.
Katanya, ia kerana jumlah pesakit mental di negeri ini kian meningkat saban hari dan beliau percaya masih ramai yang memerlukan perhatian dan bantuan.
"Berbanding negara maju seperti Amerika Syarikat, Malaysia terutama Sarawak masih jauh ketinggalan dari segi penyediaan kemudahan dan rawatan.
"Di sana, golongan ini diberi perhatian yang sewajarnya selain memiliki kemudahan yang lengkap serta kumpulan sokongan," katanya.
Dalam pada itu, Chiew turut meminta masyarakat supaya mengubah persepsi serong terhadap rawatan psikiatri bagi menggalakkan lebih ramai pesakit mental atau pesakit yang cenderung mengalami gangguan mental mendapatkan rawatan sebelum ia menjadi parah.
Katanya, tidak ramai pesakit mental dan gangguan jiwa di negara ini mahu mendapatkan rawatan atau kaunseling kerana masyarakat cenderung menganggapnya sebagai mengaibkan.
"Persepsi terhadap rawatan psikiatri ini harus diubah dan ia perlu dianggap seperti mendapatkan rawatan kesihatan yang lain.
"Dengan mengubah persepsi, barulah dapat membantu pesakit mental mendapat rawatan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your concern. We can help!