Thursday 22 September 2011

Minda: Bom jangka di kalangan masyarakat

Oleh Sufian Thauri Muhammed
sufianthauri@hmetro.com.my


KEJADIAN 30 kanak-kanak dan tiga guru dijadikan tebusan oleh seorang kurang siuman di sebuah tadika di Muar, Julai lalu, membuka mata banyak pihak mengenai bahaya yang boleh ditimbulkan pesakit mental.
Kanak-kanak dan guru terbabit selamat tetapi trauma yang mereka hadapi amat mendalam terutama di kalangan kanak-kanak berkenaan yang terlalu mentah untuk menangani masalah itu dengan pemikiran sematang orang dewasa.

Malah, bukan kanak-kanak dan guru terbabit saja merasakan begitu, tetapi juga anggota keluarga mereka terutama ibu bapa kanak-kanak berkenaan yang pastinya tidak keruan sepanjang drama tebusan itu berlangsung.

Bagaimanapun, mereka masih boleh dianggap bernasib baik kerana sebelum ini ada kes membabitkan pesakit mental yang berakhir dengan kematian.


Antaranya kes sembelih anak yang berlaku di Kampung Sungai Keladi, Kota Bharu, pada Ogos tahun lalu menyaksikan seorang bapa membunuh anaknya berusia tiga tahun. Dia yang mengalami masalah mental dikatakan terdorong bertindak begitu selepas agak lama tidak mengambil ubat.

Penulis sendiri pernah menyaksikan serangan pesakit mental terhadap orang awam kira-kira 10 tahun lalu apabila seorang wanita secara tiba-tiba ditumbuk di mukanya oleh pesakit berkenaan ketika berada dalam sebuah bas dalam kejadian di Kuala Lumpur.

Di negara ini, terserempak dengan pesakit mental yang dibiarkan berkeliaran di tempat awam secara bebas bukan perkara asing. Dengan pakaian tidak terurus, bercakap seorang diri dan mempamerkan gelagat pelik, mereka ini ibarat bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa.

Kadangkala mereka tampak tidak bermaya dan lemah, tetapi hakikatnya tiada jaminan mereka tidak mampu mendatangkan bahaya kepada orang awam yang berada di sekeliling.

Justeru, Kementerian Kesihatan dan pihak berwajib diharap dapat memainkan peranan lebih aktif dalam mengasingkan pesakit terbabit daripada orang awam dengan menempatkan mereka di institusi lebih sesuai serta memberikan rawatan sewajarnya.

Namun, seperti slogan yang selalu dilaungkan iaitu mencegah lebih baik daripada merawat, perhatian juga perlu diberikan kepada orang ramai yang berpotensi menghidap penyakit mental.

Dianggarkan kira-kira tiga juta penduduk negara ini mengalami masalah kesihatan mental yang berpotensi bertukar kepada penyakit mental atau gila sekiranya tidak menerima rawatan sewajarnya dengan masalah kemurungan dikatakan menjadi punca utama penyakit berkenaan.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan ke-III pada 2006 menunjukkan kewujudan masalah kesihatan mental adalah 11.2 peratus di kalangan orang dewasa manakala 20.3 peratus pada golongan kanak-kanak dan remaja.

Ini bermakna remaja dan kanak-kanak berisiko untuk terdedah kepada penyakit mental berpunca daripada faktor biokimia dalam otak termasuk akibat peristiwa hitam dalam hidup, hilang orang tersayang, cabaran hidup yang terlalu sukar dan tahap sosio ekonomi rendah.

Penyakit itu boleh dikesan melalui tanda awal seperti perubahan tingkah laku ketara, cepat marah, keresahan, sedih berpanjangan, mempunyai idea pelik, memikir dan bercakap soal bunuh diri, penyalahgunaan dadah serta alkohol dan tidak berupaya melakukan aktiviti harian.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, pihaknya amat peka dan bimbang mengenai peningkatan masalah kesihatan mental berikutan sepanjang tahun lalu sebanyak 400,227 pesakit mental menjalani rawatan di hospital kerajaan.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding 2009,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan angka itu dilihat selari dengan ramalan Pertubuhan Kesihatan Dunia bahawa beban masalah kesihatan mental dijangka terus meningkat pada kadar 15 peratus menjelang 2020.

“Menjelang 2020 juga, salah satu daripada gangguan mental iaitu kemurungan dijangka menduduki tempat kedua daripada segi beban penyakit selepas penyakit jantung,” katanya.

Beliau turut mengingatkan keluarga yang mempunyai pesakit mental supaya tidak mengabaikan pengambilan ubat pesakit terbabit, menyisihkan mereka mahupun membiarkan golongan berkenaan berada dalam keadaan tertekan dan murung.

“Sering berlaku keadaan di mana pesakit mental terlupa untuk makan ubat. Ini adalah satu keadaan yang agak berbahaya. Oleh itu ahli keluarga perlu memastikan pengambilan ubat pesakit adalah mengikut peraturan yang ditetapkan doktor.

“Ahli keluarga pesakit mental juga perlu sensitif dan melayan mereka dengan penuh kasih sayang bagi mengelak mereka daripada berasa tertekan. Tekanan yang tidak tertanggung adalah salah satu punca utama bagi pesakit mental mengamuk,” katanya.

Menurutnya, pesakit mental yang kerap masuk dan keluar hospital sering disisihkan atau tidak dipedulikan oleh ahli keluarga sekali gus menyebabkan penyakit dialami bertambah serius.

“Penyakit mental yang dikesan di peringkat awal juga boleh dirawat melalui sesi kaunseling atau perhatian dan penjagaan oleh ahli keluarga. Dengan cara ini, penyakit berkenaan boleh dikawal tanpa perlu menempatkan pesakit di sebarang institusi rawatan mental,” katanya.

Tiong Lai berkata, penubuhan Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental bagi mengukuhkan aktiviti promosi kesihatan mental antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti adalah salah satu pendekatan pihaknya untuk menangani sakit mental di kalangan masyarakat negara ini.

Hakikatnya peranan masyarakat, kerajaan dan badan bukan kerajaan untuk membantu pesakit mental amat penting kerana kita tidak boleh mengharapkan pesakit itu sendiri mencari penawar kepada masalah dihadapinya.

Tambahan pula pesakit terbabit tidak menyedari dia menghidap masalah mental kerana tenggelam dalam dunianya sendiri.

Langkah lebih aktif perlu diambil untuk menangani masalah pesakit mental yang dilihat berpotensi boleh membahayakan nyawanya dan orang lain dengan mengasingkan mereka segera daripada masyarakat dan memberikan rawatan selain keluarga pesakit terbabit hendaklah memberikan sokongan padu daripada segi emosi serta fizikal dalam memantau dan membantu proses pemulihan.

Jika keadaan pesakit terbabit pulih atau penyakitnya mungkin boleh dikawal dengan pengambilan ubat, barulah mereka dilepaskan kepada anggota keluarga untuk menjaga dan memantau.

Kes orang tidak siuman mengamuk sehingga menyebabkan nyawa orang tidak berdosa melayang perlu ditangani sebaiknya dengan kepentingan pesakit terbabit dan orang awam dipelihara dengan kedua-dua pihak tidak rasa teraniaya dan menjadi mangsa keadaan

No comments:

Post a Comment

Thank you for your concern. We can help!