Monday 19 September 2011

Analisis: Internet tak jejas emosi: Psikiatri

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2010/07/10

Kurang satu peratus tunjuk perubahan tingkah laku

SEORANG pakar psikiatri memberikan analogi dari sudut pandangan peribadinya yang cukup menarik berhubung kesan penggunaan internet yang sering diperdebatkan ramai pihak kerana teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berupaya menghidangkan segala bentuk pendedahan tanpa sempadan kepada sesiapa saja, termasuk kanak-kanak.
“Ikan hidup di laut tetapi ia tetap tidak masin. Ikan ada mekanisme tersendiri dalam badannya yang dapat menghalang daripada menjadi masin walaupun berendam sepanjang hayat dalam laut.
“Demikian juga hubungan antara manusia dan internet. Harus diingat apabila seseorang itu mengalami pengalaman negatif ketika melayari internet, tidak semestinya dia akan bertindak balas dalam bentuk negatif seperti melakukan perkara tidak bermoral atau menjadi fobia.

“Manusia mempunyai banyak mekanisme tapisan dalam dirinya, termasuk akal fikiran, hormon, genetik, didikan, pengalaman hidup, tahap akademik, persekitaran dan latar belakang keluarga. Selepas melalui semua proses tapisan berkenaan, barulah akan mencorakkan tingkah laku seseorang itu, sama ada menjadi negatif atau tidak terjejas akibat pengalaman melayari internet.”

Demikian rumusan Pengarah Pusat Sains Penagihan Universiti Malaya (UM) yang juga bekas Presiden Persekutuan Psikiatri dan Kesihatan Mental Asean, Prof Dr Mohamad Hussain Habil, ketika dihubungi Berita Harian semalam, dalam membicarakan hasil kajian ‘Norton Online Family Report 2010’.

Kajian berkenaan mendapati kira-kira 87 peratus kanak-kanak Malaysia mengalami pengalaman negatif ketika melayari internet yang memberi kesan kuat terhadap emosi mereka. 46 peratus daripada golongan terbabit marah selepas melihat kandungan dilayari, 45 peratus meluat, 42 peratus sedih, 40 peratus terkejut, 39 peratus berasa jijik manakala 35 peratus lagi takut.
Mohamad Hussain menjelaskan, lazimnya hanya kurang daripada satu peratus golongan mengalami pengalaman negatif sedemikian akan menunjukkan kecelaruan atau perubahan tingkah laku. Secara umum, mereka yang mengalami masalah keluarga, penderaan berterusan terutama secara seksual atau diselubungi persekitaran negatif seperti penagihan dadah oleh ibu bapa, terangkum dalam golongan berisiko tinggi itu.

Meskipun pelbagai kajian mendedahkan impak negatif akibat penggunaan ICT canggih itu, hakikatnya peranan internet tidak mampu diketepikan dalam ketamadunan manusia era globalisasi. Malah, kebanyakan masyarakat bandar melabel internet sebagai sebahagian daripada ‘rangkaian keperluan asas’ dalam kehidupan seharian mereka, sama ada urusan peribadi, perniagaan, pendidikan, jaringan sosial mahu pun hiburan.

Secara rasional, wujud banyak justifikasi internet adalah reka cipta unggul yang berjasa dalam membantu, mempermudah, malah menyelesaikan urusan manusia. Namun, pasti ada impak negatif tidak dapat dielakkan daripada kepesatan kemajuan teknologi internet, lazimnya kerana disalahgunakan.

Lantas, ia bergantung kepada kawalan kendiri setiap individu dan juga pemantauan pihak yang bertanggungjawab secara langsung, khususnya ibu bapa bagi memastikan kemudahan internet tidak disalahgunakan.

Usaha itu bukan mustahil dengan kecanggihan pelbagai gajet penyaring sedia ada dalam pasaran yang mampu menyekat penerokaan internet secara tidak sihat, terutama oleh kanak-kanak dan remaja.

Dalam konteks ini, ibu bapa perlu memastikan anak menjauhi laman sesawang yang `menarik’ mereka ke arah gejala seks, anti sosial, anti agama dan fitnah. Di samping itu, mereka juga harus peka terhadap sebarang perubahan, sama ada tingkah laku mahu pun emosi anak yang gemar melayari internet supaya tindakan pencegahan atau rawatan awal dapat diambil sekiranya mereka terjebak dengan pengaruh kesan negatif.

Internet boleh diibaratkan sebagai pisau - boleh diguna untuk memudahkan kerja memotong tetapi juga boleh digunakan untuk membunuh. Justeru, amat tidak rasional dan tidak praktikal sekiranya wujud pendapat ekstrim bahawa pisau harus dihapuskan semata-mata kerana ada orang sudah menggunakan alat itu untuk membunuh!