Tuesday 27 March 2012

Ramai tidak ambil serius masalah kesihatan mental, stres

BEBERAPA kejadian bunuh diri yang berlaku baru-baru ini sekali lagi membuktikan bahawa terdapat keperluan yang mendesak bagi kerajaan dan pihak yang berkaitan untuk meningkatkan usaha dalam mempromosi kesihatan mental yang baik dalam negara.

Seperti dinyatakan Pakar Psikiatri di Universiti Malaya, Prof Dr Mohamad Hussan Habil, akan ada lebih banyak kes bunuh diri pada masa akan datang sekiranya isu penyakit mental ini tidak dibendung segera.
Apa yang menyedihkan ialah ramai rakyat Malaysia tidak mengambil isu kesihatan mental sebagai suatu yang serius atau kurang prihatin mengenai bagaimana untuk bertindak apabila berhadapan dengan mereka yang menunjukkan kecenderungan untuk membunuh diri atau pun yang mengalami kemurungan serta memerlukan sokongan.
Di Malaysia, kadar bunuh diri meningkat dari setahun ke setahun di antara sembilan ke 12 orang dalam populasi seramai 100,000 orang berbanding lapan pada 1980-an.

Penyakit mental boleh menjurus kepada peningkatan kadar bunuh diri di seluruh dunia dengan satu kematian dalam setiap 40 saat.

Lebihan stres boleh memberi kesan yang serius terhadap kesihatan mental dan dalam hidup kita seharian.

Stres seperti yang demikian boleh memberi kesan terhadap kesihatan fizikal dan emosi yang seterusnya boleh memberi kesan terhadap orang lain di rumah. Kesan lanjutan daripada keadaan ini juga adalah tinggi.
Gangguan mental dan bentuk penyakit mental lain adalah peringatan yang tragis mengenai kehidupan yang tidak sepatutnya diabaikan di dalam usaha negara untuk membangun sebagai sebuah negara berindustri penuh.

TAN SRI LEE LAM THYE,
Ahli Majlis Penasihat
Kesihatan Mental.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your concern. We can help!