Friday 30 March 2012

Pemuda bebas tali gantung diarah ke Hospital Permai

KUALA TERENGGANU: Walaupun seorang pemuda didakwa menikam bapa kandungnya sehingga mati dengan sebilah pisau Rambo terlepas hukuman gantung mandatori, namun dia dihantar menjalani rawatan ke Hospital Permai, Johor Bahru, Johor selepas dilepaskan dan dibebaskan tuduhan berkenaan oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Tertuduh, Syahrol Azmi Che Mat, 21, berpakaian baju-T putih dan berseluar sukan hitam berbelang putih lega sebaik Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membaca penghakimannya manakala keluarganya yang memenuhi galeri awam berpusu-pusu keluar menemui tertuduh.


Dalam keputusannya, Mohd Yazid berkata seorang saksi pembelaan, Pakar Perunding Psikiatri (Forensik) Hospital Permai, Dr Badi’ah Yahya yang membuat pemerhatian rapi 24 jam dan pemeriksaan mental tertuduh, mendapati dia berada dalam keadaan tidak siuman dan tidak sedar ketika melakukan perbuatan pada malam kejadian.
“Tertuduh melakukan perbuatan itu dalam keadaan tidak waras, tidak siuman dan tidak sedar ia bersalahan dari segi undang-undang.

“Oleh demikian, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan, tetapi ditempatkan di suatu tempat selamat iaitu Hospital Permai sementara menunggu mendapat rayuan Sultan Terengganu,” katanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas bapa kandungnya, Che Mat Nik, 52, di sebuah rumah di Kampung Pulau Duyong Besar, di sini, kira-kira jam 2 pagi pada 3 Februari tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori manakala tertuduh diwakili peguam daripada Tetuan Mohd Yusof Endut & Associates.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your concern. We can help!