Tuesday 27 March 2012

Pesakit mental perlu perhatian

Keluarga abai punca bertindak ganas

KUALA LUMPUR: Sikap masyarakat suka mencemuh pesakit mental daripada membantu memulihkan mereka, dikenal pasti antara punca meningkatnya kejadian jenayah membabitkan golongan itu.
Ahli Penasihat Kesihatan Mental merangkap Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata tindakan ganas pesakit mental termasuk menyembelih, menetak dan mencederakan mangsa menggunakan senjata boleh dielak jika masyarakat lebih peka terhadap individu yang mengalami masalah mental.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan mengenai pesakit mental yang mengamuk lapan jam di Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak.

Menurutnya, kes yang dilaporkan itu menunjukkan bahawa masalah penyakit mental di negara ini semakin serius sekali gus membuktikan bahawa stigma masyarakat terhadap pesakit mental masih tinggi.

“Masalah seperti ini akan terus berlaku kerana masih ada sebahagian masyarakat yang gemar mempersendakan dan memandang rendah terhadap individu yang menghidap penyakit ini.

“Bagi menangani isu ini, masyarakat seharusnya lebih terbuka dalam memberi bantuan dan sokongan terhadap pesakit untuk terus mendapatkan rawatan sehingga sembuh. Menjaga pesakit mental adalah tanggungjawab bersama dan semua pihak tidak seharusnya meletakkan beban itu kepada kerajaan saja,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, ahli keluarga perlu lebih peka dengan tahap kesihatan saudara mereka yang mempunyai masalah kemurungan dan kelihatan suka bersendirian.

“Nasihatkan mereka mengambil ubat pada masa ditetapkan bagi mengelak pesakit bertindak di luar kawalan.

“Malangnya, ada sesetengah pesakit mental dibiarkan bertahun-tahun di hospital sakit jiwa dan tidak pernah sekali dilawati keluarga. Terdapat juga keluarga tidak mengawasi pengambilan ubat pesakit yang dibenarkan keluar daripada hospital sehingga penyakit mereka bertambah teruk,” katanya

No comments:

Post a Comment

Thank you for your concern. We can help!