Tuesday 27 March 2012

Promosi penjagaan kesihatan mental

ISU kesihatan mental di tempat kerja harus diberi perhatian kerana produktiviti pekerja dalam sesuatu organisasi bergantung kepada tahap kesihatan mental mereka.

Garis panduan bagi mempromosikan kesihatan mental di tempat kerja perlu meliputi program mewujudkan tenaga kerja yang sihat secara mental dan fizikal supaya mereka menjadi lebih positif dan produktif.
Terdapat kes pekerja yang menderita akibat penyakit mental, oleh itu pihak majikan harus membantu menyediakan pertolongan dalam bentuk kaunseling.
Majikan perlu menangani isu ini kerana pengabaian terhadap masalah kesihatan mental dan faktor psikososial di tempat kerja ini bukan saja akan merugikan pekerja atau individu terbabit tetapi juga memberi kesan langsung ke atas produktiviti, kecekapan dan pengeluaran perusahaan.


Sudah tiba masanya bagi kerajaan memperkenalkan garis panduan mempromosi penjagaan kesihatan mental bagi membolehkan pelaksanaan beberapa langkah asas yang perlu digunakan dan dilaksanakan oleh majikan di tempat kerja, bersesuaian dengan keadaan praktikal sesebuah perusahaan.

Bagi mempromosikan aktiviti penjagaan kesihatan mental di sesebuah perusahaan, adalah penting untuk memahami secara mendalam daripada pelbagai sudut mengenai aspek seperti faktor tekanan di tempat kerja yang memberi kesan ke atas kesihatan mental supaya ia boleh ditangani berkesan.

Dalam mempromosikan langkah penjagaan kesihatan mental, pihak majikan harus mempertimbangkan keadaan khusus masalah kesihatan mental, menjaga hak peribadi setiap pekerja, hubungan dengan pihak pengurusan sumber manusia dan masalah berkaitan keluarga atau cara hidup individu.
Majikan perlu menggunakan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan di tempat kerja bagi mengkaji dan mengenalpasti secara terperinci situasi sebenar dan masalah berkaitan dengan promosi penjagaan kesihatan mental di tempat kerja.

TAN SRI LEE LAM THYE,
Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your concern. We can help!