Tuesday 1 November 2011

Ucapan Menteri Kesihatan Malaysia sempena Majlis Pecah Tanah

UCAPAN YB DATUK SERI DR. CHUA SOI LEK, MENTERI
KESIHATAN MALAYSIA, SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH
PROJEK HOSPITAL PERMAI, JOHOR BAHRU, JOHOR
PADA 18 JUN 2007
Saudara Pengerusi Majlis,
YAB Dato’ Haji Abdul Ghani Bin Othman,
Menteri Besar Johor
Dif – dif Kehormat / Dato’ – Dato’ / Datin – Datin / Tuan – Tuan dan Puan – Puan yang saya hormati sekalian.
Salam bahagia dan selamat sejahtera.
1. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dalam majlis yang bersejarah ini. Sesungguhnya kita semua berkumpul di sini sempena menyempurnakan Majlis Pecah Tanah bagi projek pembinaan Hospital Permai Johor Bahru yang baru.

2. Saya bagi pihak warga Kementerian Kesihatan Malaysia ingin mengalu-alukan kedatangan semua dalam majlis ini terutamanya kepada YAB Dato’ Haji Abdul Ghani Bin Othman, Menteri Besar Johor. Tidak lupa juga kepada pihak Tabung Haji Sdn. Bhd. iaitu kontraktor utama untuk projek hospital ini.

Hadirin sekalian,
3. Projek ini merupakan salah satu daripada projek pembinaan hospital baru yang telah diluluskan oleh kerajaan untuk dilaksanakan di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Hospital baru ini mempunyai 724 katil dan keseluruhannya projek ini dijangka siap dalam tempoh 30 bulan. Hospital ini mengandungi beberapa komponen seperti klinik pesakit luar, rawatan pesakit dalam rehabilitasi, perkhidmatan X-Ray, pergigian dan juga perkhidmatan sokongan yang lain serta kuarters untuk anggota hospital.
4. Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia, 1 dalam setiap 5 orang akan mengalami penyakit mental dalam sepanjang hayat mereka. Kajian kesihatan dan morbiditi di peringkat kebangsaan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 1996 menunjukkan 10.7% rakyat Malaysia mengalami masalah mental dan statistik ini adalah bersamaan dengan statistik antarabangsa. Pada tahun 2004, kajian beban terhadap pelbagai penyakit yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia juga mendapati penyakit mental merupakan penyakit kedua tertinggi selepas penyakit jantung. Di kalangan wanita, penyakit kemurungan berada pada kedudukan ke 2 dan penyakit anxiety menduduki tangga ke 7 manakala bagi lelaki kemurungan menduduki tangga ke 2 diikuti dengan penyalahgunaan dadah pada tangga ke 4 dan alkohol pada tangga ke 6.
5. Walaupun prevalens penyakit jiwa terbukti tinggi, namun perkhidmatan kesihatan mental masih lagi jauh terbelakang dibandingkan dengan bidang perubatan yang lain. Sepanjang 20 tahun kebelakangan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah berusaha menyediakan jaringan perkhidmatan kesihatan mental yang lebih komprehensif. Ia melibatkan 4 buah institusi psikiatri dan 26 hospital pakar yang mana setiap satunya memepunyai jabatan psikiatri. Kita juga telah menjalankan promosi kesihatan mental dan juga kempen yang berkaitan dengan penyakit mental untuk meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia terutamanya semasa Hari Kesihatan Sedunia yang diadakan pada 10hb Oktober setiap tahun. Ini sebenarnya telah banyak membantu memberikan pendedahan tentang penyakit mental. Ianya juga telah berjaya mengurangkan stigma di kalangan pesakit-pesakit mental dan kini masyarakat telah mula menerima kehadiran mereka dan tidak lagi mengasingkan mereka.
6. Di peringkat tempatan, perkhidmatan kesihatan mental yang diberikan oleh Hospital Permai Johor Bahru telah dapat diterima oleh masyarakat. Ini dapat dibuktikan oleh statistik yang menunjukkan beban kerja meningkat lebih dari 20%. Saya juga mendapat maklumat bahawa perbezaan bilangan pesakit luar Hospital Permai ini jika dibandingkan dengan 10 tahun dahulu adalah amat ketara iaitu pada tahun 1997, jumlah kedatangan pesakit luar adalah seramai 5,271 manakala jumlah pada tahun 2006 telah mencecah ke 14,200 orang dan dijangkakan meningkat hingga 18,000 pada tahun ini. Terdapat cuma 28 kes baru pesakit luar pada tahun 1997 dan jumlah ini meningkat hingga 1,082 pada tahun lepas. Ini tidak termasuk kedatangan ke klinik-klinik di hospital-hospital daerah seluruh negeri Johor ini yang dilawati oleh pakar-pakar psikiatri dari hospital ini.
7. Perkhidmatan yang baru diperkenalkan seperti perkhidmatan psikiatri dan juga kanak-kanak dan remaja juga telah dapat diterima oleh masyarakat setempat. Terdapat peningkatan yang mendadak dari segi statistik lawatan ke rumah yang dilakukan oleh unit komuniti psikiatri dari 1,115 pada tahun 1998 ke 5,533 pada tahun 2006. Walaupun Klinik Kanak-kanak dan Remaja baru mula dijalankan pada tahun 1999, statistik kedatangan mencecah 3,400 pada tahun 2006.
8. Dari segi perkhidmatan pesakit dalam wad, jumlah pesakit dalam wad telah menurun dan ini membuktikan keberkesanan rawatan dan sistem mengesan kes-kes keciciran oleh unit pesakit luar dan rawatan susulan yang dilakukan oleh unit komuniti psikiatri. Pada tahun 80’ an, pesakit di dalam wad melebihi 2,000 dan kini angka tersebut telah menurun sehingga lebih kurang 1,250 masa kini.
9. Kerajaan begitu komited dalam menyediakan kemudahan yang baik untuk golongan yang kurang berkemampuan ini. Suatu masa dahulu, institusi mental menggambarkan keadaan pesakit dikurung dan tidak banyak intervensi rawatan yang dapat diberikan. Kini, tibalah masanya kita merencanakan satu pelan perawatan kesihatan mental yang komprehensif dan sekaligus menjadikan hospital ini sebagai pusat rujukan terunggul di rantau ini. Perancangan hospital baru ini mengambilkira keperluan masyarakat dari perkhidmatan untuk kanak-kanak dan remaja ke perkhidmatan untuk warga emas, juga perkhidmatan komuniti ke perkhidmatan forensik yang canggih dan terkini. Keutamaan juga dititikberatkan kepada aspek pemulihan dan perawatan di dalam komuniti. Saya penuh berkeyakinan hospital baru ini juga dapat menyediakan progaram latihan untuk pelbagai kategori anggota dan sentiasa ke hadapan dalam bidang penyelidikan psikiatri.
10. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih terutamanya kepada kerajaan Negeri Johor kerana telah memberi sokongan kepada semua projek projek Kementerian Kesihatan Malaysia dan lebih-lebih lagi kerana telah mewartakan tanah ini sebagai tapak untuk hospital psikiatri. Semoga dengan siapnya hospital baru ini akan dapat membantu mempertingkatkan mutu perkhidmatan hospital yang cekap dan memberikan manfaat yang besar kepada semua.
Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your concern. We can help!