Oleh Maiamalina Mohamed Aminmaiamalina@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Keluarga sendiri kena bawa anak yang alami gangguan mental ke hospital untuk rawatan, bukan pihak hospital ambil dia kerana kami tiada kuasa,” kata Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta yang juga Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Datuk Dr Suarn Singh.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kes Rokiah Ngah, 60, yang buntu dan mendakwa tiada pihak membantunya menyelesai masalah anak lelaki, Ahmad Shaari Mohamed, 27, yang semakin agresif gara-gara gangguan mental dihadapinya.
Menurut Dr Suarn, mengikut Akta Kesihatan Mental 2001, mana-mana hospital tidak mempunyai kuasa untuk menahan pesakit mental melainkan dia sendiri secara sukarela ingin mendapatkan rawatan atau dibawa penjaga mahupun diserahkan polis. “Seksyen 9 dan 10 akta ini menyatakan dengan jelas mana-mana pesakit mental berhak dirawat di unit psikiatri hospital sekiranya dia dibawa secara sukarela merujuk kehendak diri sendiri atau penjaga, mahupun paksa rela (diserahkan polis selepas aduan saudara dibuat).
“Dengan itu tidak timbul isu yang pesakit gagal dibantu ataupun sukar untuk dirawat kerana kementerian mempunyai kepakaran dan kelengkapan perubatan terkini yang boleh menyembuhkan gangguan mental seseorang, dengan syarat dia dirujuk ke hospital.
“Saya menyarankan keluarga ini supaya merujuk kes anaknya ke Hospital Kuala Terengganu atau Hulu Terengganu (mana-mana terdekat) kerana kedua-duanya mempunyai pakar psikiatri,” katanya.
Menjelas lanjut, Penasihat Teknikal Bahagian Psikiatri Kementerian Kesihatan turut memberitahu, tempoh rawatan yang layak dikenakan ke atas pesakit adalah bergantung kepada keperluan mereka dan tahap gangguan sama ada sukar disembuhkan atau tidak.
Bagaimanapun, katanya, pesakit berisiko membahayakan diri sendiri dan pihak lain itu tidak akan dikeluarkan daripada wad psikiatri sekiranya belum benar-benar disahkan sembuh.
“Kami mempunyai rawatan dan ubat terkini untuk sembuhkan pesakit mental, malah paling penting mereka ini tidak akan dikeluarkan daripada wad sekiranya belum benar-benar sembuh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Meme Zainal Rashid mengesahkan keluarga Rokiah diberi bantuan kewangan RM400 sebulan sejak 1993 khusus bagi keperluan perubatan anaknya.
Beliau berkata, Rokiah juga sudah dinasihat merujuk anaknya ke bahagian psikiatri Hospital Kuala Terengganu bagi mendapatkan rawatan bersesuaian berikutan keadaannya yang memerlukan rujukan pakar.
“Rujukan ini juga bagi membolehkan Ahmad Shaari mendapat pengesahan pakar psikiatri sebagai orang kurang upaya dan jika disahkan, JKM akan mempertimbangkan perkhidmatan bersesuaian untuknya tertakluk kepada syarat serta kriteria ditetapkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Thank you for your concern. We can help!